Ahad, 7 Mei 2017

Tok Pulai Chondong - Bermulanya sebuah legasi

Tok Pulai Chondong - Pengasas Institusi Pondok terawal di Kelantan


Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Selain dikenali sebagai Tok Pulai Chondong, beliau juga dikenali dengan nama Sheikh Abdul Samad Faqih. Beliau lahir semasa pemerintah Long Yunus pada tahun 1207 Hijrah bersamaan dengan 1792 Masihi. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, 

Tok Pulai Chondong berasal dari Patani dan mempunyai talian persaudaraan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.[1] Datuknya yang dikenali dengan nama Imam Hasyim adalah seorang ulama yang sangat terkenal dizamannya. Beliau terkenal dengan gelaran ‘Tok Saraf’ kerana sangat mahir dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga orang anak iaitu Faqih Haji Abdullah yang merupakan ayahanda Tok Pulai Chondong, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Dikatakan bahawa Imam Hasyimlah yang telah membuka Kampung Bukit yang terletak dalam jajahan Pulai Chondong dan akhirnya menetap disitu sehingga akhir hayatnya. 

Tok Pulai Chondong mempunyai tiga orang adik-beradik. Mereka ialah Halimah, Abd. Rahman dan Tok Pulai Chondong sendiri. Halimah iaitu kakaknya yang sulung berkahwin dengan orang Kubang Kiat, Kota Bharu dan selepas itu menetap di Labok yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pulai Chondong. Di antara tiga adik beradik itu hanya Tok Pulai Chondong yang mewarisi jejak langkah ayah dan datuknya sebagai ulama. 

Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai empat orang isteri. Nama-nama mereka ialah Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha. Tok Pulai Chondong dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil. 12 anaknya yang ada ialah Haji Abdul Hamid, Haji Abdul Syukur, Haji Abdul Aziz, Haji Umar, Haji Muhammad Said, Haji Taib, Hajah Siti Mariam, Haji Muhammad Arsyad, Haji Abdullah, Haji Muhammad, Hajah Zainab dan Hajah Ummu Maimunah. 

Tok Pulai Chondong mendapat pendidikan daripada ayahanda dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani. Beliau juga dikatakan pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani dengan menadah kitab kepada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah pada tahun 1223 H bersamaan dengan 1808 Masehi. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Haji Adam. Beliau juga dikatakan pernah menjadi murid Syeikh Daud al-Fatani. 

Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan. Sekembalinya dari Makkah, beliau mengajar tiga cabang ilmu Islam iaitu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Merasakan ilmunya masih belum cukup, beliau berangkat semula ke Makkah pada tahun 1256 H bersamaan dengan 1840 Masehi. Beliau berhajat hendak mendalami lagi ilmu tasawwuf padahal ramai ulama menyatakan bahawa beliau sudah terlebih layak untuk mengajar ilmu berkenaan. Satu lagi pendapat menyatakan bahawa beliau pergi ke Makkah buat kali kedua pada tahun 1278 H bersamaan dengan 1861 Masehi bersama-sama dengan anaknya yang bernama Muhammad Arsyad yang pada ketika itu baru berusia 13 tahun. Dalam lawatannya yang kedua inilah, Tok Pulai Chondong telah menziarahi makam Imam Syafi’e yang terletak di Mesir bersama-sama dengan sahabatnya yang juga seorang ulama besar iaitu Tuan Hasan Besut. Selain dari Tuan Hasan Besut atau nama lengkapnya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, 

Tok Pulai Chondong juga bersahabat baik dengan ulama-ulama besar yang lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani, Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu dan Syeikh Wan Musa.
Pada tahun 1820 Masehi, 

Tok Pulai Condong telah membuka sebuah penempatan baru yang dikenali dengan nama Kampung Bilal Talib yang lokasinya tidak jauh dari Kampung Bukit, kawasan penempatan yang dibuka oleh datuknya satu masa dahulu. Sebaik sahaja penempatan ini dibuka, Tok Pulai Chondong pun membina sebuah surau. Surau ini terletak berhampiran dengan sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Maka dengan keadaan pokok itu, masyarakat setempat telah memberi gelaran Tok Pulai Chondong kepadanya sempena keberhasilannya membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai. Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. 

Selepas kewafatannya, urusan pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arsyad. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong ada mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum musnah dalam kebakaran buat kali kedua pada tahun 1856 akibat perbuatan khianat. Masjid yang baru kemudiannya dibina dan lokasinya dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang. 

Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong menjadi lambang kemegahan masyakarat setempat sejak ia dibina oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1856. Menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri Kelantan dilanda ribut besar pada tahun 1880 sehingga menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.
Menara masjid yang unik kerana kayu cengal yang digunakan untuk membina menara itu hanyalah sebatang tanpa bersambung
Masjid ini masih lagi digunakan sehingga kini dan mampu menampung sekitar 200 orang jemaah pada satu-satu masa.[2] Tok Pulai Chondong dikenali ramai dengan kealimannya dalam bidang tasawwuf. Beliau seorang yang praktikal maksudnya ilmu tasawwuf yang dipelajarinya, diamalnya bersungguh-sungguh. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal.[3]
Tambah almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir lagi, Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam. Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Makkah. Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan yang kemudiannya mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum'ah al-Aurad. Daripada sinilah ia tersebar secara meluas dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.[4] Tokoh ini diriwayatkan meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala berhampiran dengan makam Saidatina Siti Khadijah.
[1] Dikatakan saudara dua pupu. Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009
[2] Rujuk http://pulaichondong.pjk.com.my/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=101. Dicapai pada 30 Jun 2009
[3] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009
[4] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009.
(Sumber: http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.my/2009_06_01_archive.html)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan