Isnin, 13 Mac 2017

Melestarikan Suatu Anugerah

Sungai adalah suatu anugerah tidak ternilai dalam kelangsungan hidup. Pembangunan sumber air yang berkaitan dengan bio-diversiti atau kepelbagaian alam semulajadi ini mengajak kita untuk menghayati dan melakukan perubahan berasaskan tamadun yang tersedia. Amatlah rugi dan mungkin kita tergolong sebagai golongan kufur nikmat jika tidak memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Mengambil manfaat di sini bukan bererti merosakkan tetapi perlu lebih berbentuk lestari.

Sungai Bagan tidaklah sehebat Sungai Venice mahupun Thames mahupun Mississipi tetapi keindahan dan fungsinya tidak jauh berbeza. Sungai yang mengalir dari ampangan JPS Panggung ke muaranya di Sungai Kelantan merentasi beberapa buah kampong. Selain ikan dan hidupan air lain, sungai ini menempatkan berbagai jenis tumbuhan, hidupan liar, serangga dan juga unggas di atas tebingnya dan pepohon yang tumbuh meliar.

Sumber yang tidak terkawal pasti akan terus hidup mengikut kesemulajadiannya seperti yang telah kita tempuhi sekian lama, dimusim monsoon timur laut setiap tahun sungai itu menjadi punca banyak kawasan rendah dilanda banjir tetapi dimusim kemarau aktiviti menangkap ikan secara berlebihan dan tidak sihat pula berlaku. Manakala hutan yang tidak terkawal di tebing sungai menjadi habitat binatang buas dan berbisa membiak yang akan mengancam nyawa dan merosakkan hasil tanaman peladang di sekitarnya.

Berkemungkinan projek lapangan terbang yang pernah diutarakan sebelum ini di Estet Sungai Bagan berhampiran Sungai Bagan yang tidak diluluskan merupakan suatu rahmat untuk memudahkan proses melestarikannya. Justeru itu marilah kita sama-sama berganding idea dan berusaha untuk mengekalkan alam dengan kepelbagaian semulajadi ini mengikut lunas mandirinya secara terkawal.

Selain dari membina projek Taman Ekologi atau Ecopark, berbagai kaedah lagi boleh dilaksanakan seperti membina takungan air sumbangan dari limpahan air musim tengkujuh yang akan menyediakan projek bekalan air bersih dan ternakan air tawar yang bernilai tinggi dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, di sepanjang tebing sungai projek penanaman pokok bernilai tinggi dan aktiviti pertanian jangka pendek seperti menanam sayur sayuran boleh dilaksanakan.

Gertak Tok Ali, Sungai Bagan 
Gertak Tok Ali, Sungai Bagan
  
 Nukilan Idea

AMRAN AWANG
Mac 13, 2017